Oleh : Srinarawie Bidzah / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendukung sepenuhnya usaha merealisasikan matlamat negara melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation. Antaranya, dalam memperkukuh urus tadbir strategik dengan penggubalan dasar pembangunan jangka panjang berasaskan bukti yakni 'evidence-based policy' yang memberi impak nyata dan berpanjangan kepada rakyat dan negara, termasuk penyediaan kerangka penilaian impak dasar yang komprehensif dan mekanisme laporan kemajuan pelaksanaan yang sistematik dan telus dengan penetapan petunjuk-petunjuk prestasi utama, iaitu KPI yang jelas untuk memantau keberkesanan dan pencapaian matlamat dasar.
Kedua, meningkatkan kecekapan Perkhidmatan Awam melalui pelan permodenan dan transformasi institusi yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti institusi dan modal insan, inovasi penyampaian dan pengukuhan akauntabiliti dan keberhasilan bagi mempertingkatkan mutu pencapaian perkhidmatan awam, kerajaan terus melaksanakan perkhidmatan yang berkualiti, berpaksikan rakyat dan berasaskan data sambil memanfaatkan teknologi digital secara optimum.
Salah satu inisiatif ke arah ini ialah Sistem E-Pemedulian Pelanggan (EPP) yang membolehkan orang ramai memberi maklum balas secara langsung terhadap perkhidmatan kerajaan, data yang dikumpul akan menjadi asas penting secara berterusan di samping penambahbaikan membuka peluang penerapan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence-AI) dan Big Data untuk memperkukuh kecekapan dan responsif Sistem Perkhidmatan Awam.
Perkara berkenaan dikongsikan dalam Usul Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat seterusnya mengambil pendekatan yang menyeluruh dan proaktif dalam memelihara keselamatan dan kestabilan negara demi menjaga kemaslahatan seluruh lapisan rakyat, kerajaan memberi keutamaan kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta pembudayaan masyarakat, 'law-abiding' yang celik dan patuh kepada peraturan yang dikuatkuasakan.
Sejajar dengan ini tambah Yang Berhormat, JPM menyokong pelaksanaan inisiatif seperti Pindaan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 dan kempen kesedaran Waspada.bn. Usaha penguatkuasaan turut diperkukuh melalui pelaksanaan Social Blueprint dengan penekanan kepada pencegahan penguatkuasaan dan kesiapsiagaan selaras dengan Matlamat Strategik 6 di bawah Aspirasi 4.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan dalam mengutamakan keberhasilan yang memfokuskan kepada kepentingan negara dan kemaslahatan rakyat melalui pelaksanaan dasar yang tidak hanya berorientasikan 'output' tetapi menjurus kepada hasil yang memberi perubahan positif dan berpanjangan dalam kualiti hidup rakyat, kesejahteraan sosial dan daya saing negara di peringkat serantau dan global termasuk memastikan setiap inisiatif pembangunan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan yang baik iaitu, 'decent work', pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Dalam mendukung perihal negara yang mampan termasuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kata Yang Berhormat, peningkatan kecekapan tenaga dalam sektor awam dan swasta serta penyediaan dasar dan hala tuju tenaga negara yang mendukung agenda kepelbagaian ekonomi di sektor hiliran minyak dan gas, kelestarian dan keselamatan tenaga secara jangka panjang, Negara Brunei Darussalam (NBD) berjaya mengekalkan kadar elektrifikasi yang tinggi di tahap 99.99 peratus pada tahun ini.
"Alhamdulillah, kadar ini dicapai melalui penyambungan rangkaian tenaga elektrik ke Mukim Sukang dan kawasan pendalaman di Daerah Belait, memenuhi keperluan harian bagi penduduk di mukim tersebut.
"Di samping itu, usaha-usaha bagi mengekalkan sektor huluan minyak dan gas tetap sahaja digiatkan. Memperkasa kerjasama merentas sektor melalui platfom penyelarasan dasar dan dialog-dialog inklusif bersama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, NGOs, masyarakat dan institusi akademik bagi menghasilkan dasar yang lebih holistik, berimpak tinggi dan responsif kepada keperluan rakyat dan membangun keupayaan data kebangsaan secara menyeluruh melalui kerjasama rentas agensi bagi mendukung penggubalan dasar yang tepat berasaskan maklumat yang sahih dan terkini selaras dengan keperluan Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Berdaya Tahan, Sustainable Development Goals (SDGs)," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat juga mengongsikan JPM juga memudah cara dasar-dasar yang kondusif untuk pelaburan strategik, pembangunan modal insan termasuk pelaksanaan Perintah Pekerjaan (Upah Minimum), Pindaan 2025 dan inovasi sektor swasta.
Kejayaan Wawasan Brunei 2035 kata Yang Berhormat, bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang rapi tetapi juga kepada kecekapan pelaksanaan dan semangat kebersamaan seluruh rakyat dan negara.
"Maka itu, peramba/ kaola/ saya menyeru agar perbahasan usul ini diperkaya dengan pandangan yang membina dan berpandangan jauh demi memastikan dasar-dasar yang digubal benar-benar memberi impak yang besar dan berpanjangan kepada rakyat dan negara.
"Peramba/ kaola/ saya akhiri dengan penuh harapan dan keyakinan bertawakal ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan berkat daulat kempimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar segala usaha yang dilaksanakan termasuk oleh JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan terus menyumbang secara langsung kepada kejayaan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 dan seterusnya kepada kemakmuran dan kesejahteraan NBD yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja yang sama-sama kita cintai," ujar Yang Berhormat.